TV AlHijrah Perkenal 5 Rancangan Baharu

Oleh Nazirah Ripin

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Satu-satunya stesen televisyen Islamik negara TV AlHijrah tampil dengan nafas baru melalui lima program baharu yang diperkenalkan tahun ini.

Dalam kenyataan TV AlHijrah berkata, lima program baharu tersebut termasuk program majalah dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor ‘Kasihku’ yang bersiaran setiap hari Selasa bermula pukul 6.30 petang.

“Program ‘Kasihku’ merupakan platform hebahan khusus untuk memberi pemahaman, perspektif positif dan informasi kepada masyarakat mengenai zakat.

“Antaranya adalah seperti saluran telus kutipan dan agihan, keberkesanan agihan zakat, keperluan-keperluan asnaf, ciri-ciri asnaf fakir miskin yang layak menerima zakat dan lain-lain lagi,” katanya.

TV AlHijrah turut menampilkan dua program kerohanian yang bersiaran setengah jam pada pukul 7.30 malam setiap hari Jumaat iaitu program ‘Alam Barzakh’ dan setiap Sabtu program ‘Mimbar’.

CARA BERSAHAJA

‘Alam Barzakh’ dikendalikan Ustaz Wadi Anuar yang berkongsi tentang kehidupan selepas kematian dengan cara bersahaja.

Antara topik-topik yang akan disentuh sepanjang lapan episod siaran rancangan ini termasuk Hakikat Mati, Barzakh di dalam Al Quran dan Hadis, Saat Sakaratul Maut, Diiring Ke Taman Syurga, Diheret ke Lubang Neraka, Dahsyat Azab Kubur, Malaikat Maut, Munkar dan Nakir serta Realiti-Realiti Barzakh.

Menerusi program ‘Mimbar’ musim ketiga pula, AlHijrah akan bawakan personaliti agama termasuk Ustaz Rozi Harun, Ustaz Syukri Ismail, Ustaz Ashraf Suarin dan Ustaz Shahabudin Md Yatim yang akan membicarakan topik menarik seperti Jaga Auratmu dan Air Mata Ibu.

┬ôSeperti biasa program yang dikendalikan pengacara Adi Akmal pastinya mengupas tajuk-tajuk yang dekat dengan hati penonton terutama golongan muda,” katanya.

Tambahnya, TV AlHijrah juga serius dalam menyediakan rancangan berunsurkan pendidikan.

KALAM HIKMAH

Pada setiap Khamis pukul 7.30 malam pula, slot ‘Kalam Hikmah’ yang dihoskan Ustaz Taha Hassan selama setengah jam, membimbing pelajar berusia 18 hingga 28 tahun dalam mempelajari ilmu Qiraati al Quran.

‘Kalam Hikmah’ memberi penekanan kepada teknik bacaan Al Quran dengan tajwid yang betul dan tepat.

Di samping itu, tahun ini penonton juga disajikan dengan rancangan bual bicara ‘Kembali Fitrah’ yang bersiaran setiap Rabu selama setengah jam sehingga pukul 8 malam.

Program dakwah antarabudaya itu menggandingkan dua muallaf mantap yang terkenal dengan sikap humor iaitu Profesor Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Syafiq Raffiqin Liow selaku hos rancangan.

Kedua-dua hos ini akan berinteraksi dengan tetamu jemputan yang terdiri daripada mereka yang telah menerima Hidayah Allah seperti Shah Kirit dan Dr Nuraisyah Chua mengenai pengalaman hidup, saat menerima hidayah dan kisah setelah menjadi Muslim.

— BERNAMA

24.1.2018
 

Comments are closed.