KUALA LUMPUR: TV Alhijrah dengan kerjasama Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) telah menerbitkan program animasi atau kartun berkonsepkan nilai-nilai murni yang dinamakan ‘Anifest’.
Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, selain memberi peluang kepada pengkarya animasi tempatan, penerbitan program animasi itu bertujuan untuk meluaskan capaian dakwah TV Alhirah kepada generasi yang lebih muda.
“Sekarang dengan ledakan teknologi dan pelbagai aplikasi, mereka (golongan muda) terdedah kepada pengaruh luar.
“Pentingnya animasi saya lihat, untuk anak-anak di awal usia supaya boleh menarik minat mereka dan secara tidak langsung TV Alhijrah bersedia mendepani cabaran semasa dalam kita cuba mendapatkan penonton-penonton baru yang lebih muda,” katanya.
Tambahnya memandangkan negara kini bersedia ke arah Revolusi Industri 4.0, peranan pengkarya kartunis amat penting untuk menghasilkan karya seni animasi berunsur nilai murni sebagai alternatif kepada aplikasi-aplikasi media sosial yang tidak bermanfaat.
Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara TV Alhijrah dengan ANIMAS pada Jumaat, 14 Ogos 2020.
Bagi Presiden ANIMAS, Ameir Hamzah Hashim, jalinan kerjasama antara TV Alhijrah dan pihaknya memberi peluang kepada pengkarya animasi untuk merancakkan kembali industri berkenaan yang terganggu ekoran penularan wabak COVID-19, selain bagi memastikan dana penerbitan animasi yang disalurkan kerajaan mencapai ojektifnya.
“Studio yang dibuka untuk penerbitan animasi tidak dapat bertahan jika tiada pelantar siaran yang berkesan terutamanya stesen TV percuma yang boleh menembusi segenap rumah dan masyarakat Malaysia.
“Tanpa slot siaran animasi di TV, dana agihan penerbitan animasi oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan lain-lain agensi kerajaan akan turut gagal dalam mencapai sasaran objektifnya.
“ANIMAS melihat kerugian yang amat besar jika agihan dana penerbitan animasi berakhir dengan animasi yang siap tetapi hanya tersimpan dalam gerobok pameran sahaja tanpa dapat disiarkan melalui TV tempatan,” kata Ameir di laman Facebook rasminya selepas termetrainya MOU antara ANIMAS dengan TV Alhijrah.
Ameir bekata beliau berharap MOU antara ANIMAS dan TV Alhijrah akan dapat memulakan usaha pemerkasaan ekosistem industri animasi negara.
Program kartun ‘Anifest’ akan disiarkan di TV Alhijrah sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 6.55 petang bermula 14 Ogos 2020.— AlHijrah Online / Zaim Zamani