Beri peluang kedua kepada bekas banduan

KUALA LUMPUR: Masyarakat di negara ini perlu mengikis persepsi bekas banduan sebagai penjenayah selama-lamanya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, orang ramai tidak seharusnya terus menghukum bekas banduan kerana ramai dalam kalangan mereka sudah pulih dan mahu kembali ke pangkuan masyarakat.

“Harap penonton (masyarakat) jangan letakkan di minda sekali buat kesalahan akan terus buat kesalahan,” katanya pada Program Bual Bicara ‘Orang Diparol’ yang disiarkan oleh TV Al Hijrah, malam ini.

Sesi berkenaan dikendalikan Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Ia adalah siri pertama daripada 16 siri anjuran Kementerian Dalam Negeri, Telekom Malaysia Berhad (TM) serta TV Al Hijrah, bagi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai sistem parol di Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, sistem parol yang dilaksanakan sejak 10 tahun lalu di negara ini menjadikan Malaysia aman damai.

“Sistem parol acuan Malaysia terbukti mampu menurunkan kadar jenayah berulang oleh banduan daripada 9.03 peratus kepada 0.48 peratus dalam tempoh sedekad dilaksanakan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan turut mewujudkan maahad tahfiz di Penjara Kluang, diikuti Bentong dan Padang Terap yang menjadikan banduan yang mengikuti sistem parol menghafal al-Quran.

Katanya, apabila menghafal a-Quran, banduan akan pulih dan tidak akan kembali melakukan jenayah atau penagihan dadah.

“Ada juga dalam kalangan banduan yang mengikuti pengajian secara luar kampus bermula peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD),” katanya.

Sementara itu, seorang bekas banduan yang diundang menyertai program bual bicara itu, berharap masyarakat membuka mata dan menerima mereka sebagai manusia biasa.

“Bukalah peluang dan ruang. Terimalah kami walaupun sedikit, kami sudah berubah,” katanya.

sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/411824/beri-peluang-kedua-kepada-bekas-banduan 

15.4.2018
 

Comments are closed.