KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara Senator Idris Ahmad dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Idris yang dilantik menggantikan Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata beliau bersyukur atas pelantikan tersebut dan akan menggalas tanggungjawab dengan baik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah melantik saya atas cadangan oleh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).
“Antara perkara awal yang akan saya lakukan apabila mulakan tugas nanti ialah memanggil semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya ketika dihubungi Alhijrah Online.
Idris yang juga Naib Presiden PAS dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh 2020 hingga 2023.
Sementara itu jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kekal disandang oleh ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
“Terima kasih Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberi. Insya-Allah segala amanah dan tanggungjawab yang amat berat ini akan saya laksanakan dengan sehabis daya saya,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.
TV AlHijrah mengucapkan tahniah atas pelantikan sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). – AlHijrah Online
Sumber: AlHijrah Online