KUALA LUMPUR: Selepas mendapat reaksi yang memberangsangkan melalui penerbitan KAFA d’Hijrah sebelum ini, TV AlHijrah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) meneruskan jihad ilmu melalui program KAFA d’Hijrah musim ketiga.
Pembelajaran Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu disiarkan di TV AlHijrah setiap Isnin dan Selasa pada jam 4.30 petang bermula 31 Januari lalu.
Penerbitan KAFA d’Hijrah juga selari hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad yang mahu pembelajaran KAFA disiarkan di kaca televisyen bagi membantu pelajar sekolah rendah meneruskan proses pembelajaran ilmu agama.
Antara subjek yang akan diajar para ustaz dan ustazah terlatih ialah Al-Quran, Ibadah, Sirah, Jawi dan Khat, Bahasa Arab dan Akidah.
Jesteru ibu bapa dan penjaga diharap dapat bersama-sama menyokong penerbitan KAFA d’Hijrah dengan memastikan anak-anak dapat menonton siaran program ilmu tersebut. – AlHijrah Online