KUALA LUMPUR, 15 Februari – Pertama kali di Malaysia pendakwah dan ulama terkenal dari Riau, Indonesia Ustaz Abdul Somad Lc. M.A membuat penampilan khasnya di TV AlHijrah menerusi program Assalamualaikum. Beliau berada di Malaysia atas tujuan jemputan ceramah dan berkesempatan untuk hadir di TV AlHijrah
Ustaz Abdul Somad pernah menuntut di Universiti Al-Azhar pada tahun 1998 sehingga 2002 dan juga pernah melanjutkan pelajarannya (master) di Moroko untuk mendalami ilmu hadis secara lebih mendalam selama hampir 2 tahun. Beliau juga sempat meneruskan pelajarannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertempat di Bangi.
Selain memenuhi jemputan berceramah, beliau juga telah memulakan kariernya sebagai pensyarah sehingga ke harini.
Berkongsi pengalaman sebagai penceramah, beliau pada awalnya amat takut dan kekok untuk bercakap di depan orang ramai. Hal ini kerana, Ustaz Somad berasal dari keluarga yang kecil dan hanya mempunyai 2 orang adik beradik dan beliau jarang bercakap atau menyampaikan syarahan dikhalayak.
Ustaz Somad berkata, semasa belajar di luar negara mereka akan mengadakan ceramah mingguan dan setiap kali giliran beliau untuk memberikan ceramah, beliau akan selalu mengelak dengan memberikan bermacam alasan.
Pendekatan yang diambil beliau semasa memberi ceramah adalah dengan menyelitkan unsur jenaka supaya pendengar atau penonton tidak merasa bosan dengan penyampaianya. Beliau juga akan menggunakan topik semasa dalam memberi contoh supaya lebih dekat dengan masyarakat.
Semoga dengan kunjungan dan kehadiran Ustaz Abdul Somad ke TV AlHijrah memberi inspirasi serta mengambil keberkatan dari ilmu beliau untuk kejayaan TV AlHijrah.