Alhijrah Media Corporation

info@tvalhijrah.com

PENGIKTIRAFAN ANUGERAH SERI ANGKASA BUKTI DAKWAH SANTAI TERIMA SAMBUTAN

PENGIKTIRAFAN ANUGERAH SERI ANGKASA BUKTI DAKWAH SANTAI TERIMA SAMBUTAN

KUALA LUMPUR: Pengiktirafan Anugerah Seri Angkasa kepada TV Alhijrah membuktikan program dakwah tidak hanya di dalam kerangka ceramah dan forum sahaja, malah boleh dilakukan dalam bentuk hiburan budaya popular dan animasi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Namanzee Harris sebagai contoh, program Hijrahkan Laguku yang memenangi kategori Rancangan Realiti TV Terbaik merupakan eksperimentasi format dakwah dalam nyanyian dalam kerangka syariah.

“Pembuktian program realiti hiburan tidak perlu berlebih-lebihan dalam hiburan kebaratan dan boleh dikawal mengikut agama dan budaya orang timur,” katanya.

Bagi program Al-Qariah pula, Namanzee berkata ia meletakkan satu tanda aras penerbitan program dakwah berbentuk forum dan kaedah kesan bunyi khas pencahayaan.

Al-Qariah berjaya meraih memenangi kategori Rancangan Agama TV Terbaik dengan aplikasi seni audio visual, penceritaan yang mendalam yang mampu menangkap emosi penonton.

“Ia bersaing dengan program-program besar Islamik seperti Tilawah dan Halaqah, yang telah lama mendominasi rating program keagamaan,” katanya.

Selain itu program Ustaz Kartun dan Robojim yang mengungguli kategori Rancangan Kanak-Kanak TV Terbaik telah membuka ruang animasi dakwah yang belum habis diteroka.

“Insya-Allah, dengan kolaborasi antara TV AlHijrah dan ANIFEST kita akan melihat kerjasama bersama penerbit animasi tempatan,” kata Namanzee.

Dalam pada itu tambahnya, Malaysia mampu menjadi hub program TV mesra syariah yang menekankan kerangka Islamik kontemporari, sesuai dengan perkembangan semasa disamping menjadi pelantar dakwah Islam yang santai dan sampai.-AlHijrah Online