Rancangan Al-Mulk di TV AlHijrah ajak masyarakat muhasabah diri, bersihkan hati dan dekatkan diri pada Ilahi hadapi musibah



SETIAP mukmin itu seharusnya memperlengkapkan diri dengan pelbagai persediaan, tidak kira kelengkapan berbentuk fizikal, materi dan rohani. Ini kerana Islam sentiasa menyeru umatnya supaya pandang jauh ke depan, melampaui garis masa sejarah yang terakam.

Apa-apa yang menimpa umat Islam dan seluruh dunia semuanya ada dalam peringatan ayat Allah; juga tatacara menghadapinya supaya umat Islam sentiasa selamat dalam apa jua keadaan.

Dalam menghadapi musibah yang mungkin hadir dalam pelbagai bentuk seperti kehilangan, kematian, kecelakaan, kemalangan, kemusnahan, kesakitan, kesengsaraan, bencana alam atau wabak penyakit, Islam mengajar umatnya supaya mengucapkan “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Titik punca dan cara menangani masalah serta apa sahaja ujian hidup hendaklah dirujuk kepada agama supaya hidup mukmin itu sentiasa berada di landasan yang benar.

Justeru itu dalam keadaan yang masih dibelenggu pandemik Covid-19 ini, TV AlHijrah sentiasa berusaha mengisi hati masyarakat terutamanya umat Islam dengan pelbagai program keagamaan untuk memberi panduan kepada mereka menjalani kehidupan dengan tenang.

Al-Mulk: Penghidup Kerajaan Hati adalah sebuah rancangan baharu terbitan TV AlHijrah sejumlah 13 episod bertujuan mengajak masyarakat mendekatkan diri dengan agama dengan cara membersihkan hati.

Rancangan sebanyak 13 episod ini memimpin umat Islam membersihkan hati dan mendekatkan diri dengan agama sebagai persediaan diri dalam menghadapi situasi yang menekan.

Menurut penerbit rancangan, Muhammad Sadiq Hakim Azman, Al-Mulk dirancang untuk menyedarkan masyarakat bahawa segala apa yang berlaku dalam hidup itu ada hubung kaitnya dengan kealpaan dan sifat manusia itu sendiri

“Hampir semua yang berlaku (masalah sosial dan musibah) disebabkan kosongnya hati, kotornya hati dan matinya hati. Sebagai pengamal media, kita mengambil berat perkara ini dan menjadi kerisauan, lantas tampil untuk menyebarkan ilmu dan rahsia-rahsia yang ditemukan dalam surah Al Mulk,” katanya.

Program ini mendedahkan fadhilat bagi mereka yang membaca surah Al-Mulk yang dikenali sebagai surah penyelamat di alam kubur ini.

“Surah ini terkandung hikmah Allah menjadikan kehidupan dan kematian. Di dalam program ini juga penonton akan dibawa masuk ke dalam kisah-kisah yang berlaku ketika seseorang itu berada di dalam syurga dan neraka,” jelas Muhammad Sadiq Hakim.

Titik punca dan cara menangani masalah serta apa sahaja ujian hidup hendaklah dirujuk kepada agama supaya hidup mukmin itu sentiasa berada di landasan yang benar.

Selain itu, pemilihan surah ini sebagai kupasan dalam rancangan berikutan terdapat banyak rahsia yang apabila didengarkan mampu meningkatkan motivasi umat untuk mengamalkan surah al-Mulk ini seterusnya menghidupkan hati sebagai orang yang beriman.

Rancangan yang dikendalikan oleh Syeikh Mohd Nazrul Abd Nasir ini akan bersiaran pada pukul 7.30 malam setiap Jumaat bermula 1 Januari 2021.

Justeru itu, sangatlah wajar rancangan ini dimasukkan dalam senarai tontonan seisi keluarga lebih-lebih lagi dalam kemalapan suasana yang sedang melingkungi kita semua.

Semoga dengan berkat pengajian surah ini, kita semua terselamat dari fitnah dunia dan alam kematian kerana hanya mereka yang kembali kepada agama sahaja mampu terselamat di dua dunia ini.

Gambar: Ustaz Syeikh Mohd Nazrul Abd Nasir akan mengendalikan rancangan Al-Mulk yang mengajak masyarakat memperbaiki hati dengan mentadabbur surah Al-Mulk.

Sumber: www.hbit.my

14.12.2020
 

Comments are closed.