Selepas menerima sambutan yang menggalakkan sejak diperkenalkan pada tahun lalu, program Langit Terang siaran TV Alhijrah diteruskan lagi bagi musim ketiga dan keempat.
Lebih istimewa, Langit Terang yang mendapat kerjasama daripada Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Amanah Hartanah Bumiputera tersebut membuka jalan kepada pelajar asnaf untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Program selama 26 episod itu bersiaran setiap Rabu pada pukul 9 malam bermula 25 Julai lalu membabitkan 26 pelajar yang terpilih menepati kriteria ditetapkan.
Menerusi musim terdahulu, bantuan pendidikan hanya diberikan kepada pelajar-pelajar asnaf yang mengikuti pengajian pada peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi awam sahaja.
Apa yang menariknya, pada musim terbaharu ini, pelajar yang terpilih turut berpeluang meneruskan pengajian mereka ke universiti-universiti di luar negara.
Bantuan yang diberikan termasuklah yuran pengajian, peralatan pembelajaran, buku rujukan, kos sara hidup dan beberapa perkara lagi perkara yang dirasakan bersesuaian bagi membolehkan mereka mengubah nasib keluarga kelak.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Dr. A. Bakar Sarpon menjelaskan, program tersebut dilihat berupaya menjadi pembuka jalan kepada pelajar-pelajar terpilih untuk membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan demi kehidupan yang lebih baik.
Katanya, program Langit Terang juga bertujuan mengangkat budaya muhibah dalam kalangan semua pihak yang terlibat.
“Kriteria pemilihan pelajar diperluaskan dengan bantuan pendidikan turut ditawarkan kepada mereka yang mengikuti pengajian peringkat diploma, selain memiliki perwatakan positif, bermotivasi, rajin, mempunyai misi dan berdaya saing.
“Mereka dikenal pasti daripada keluarga kurang bernasib baik melalui pihak universiti, ketua-ketua kampung dan beberapa pihak lain.
“Kami akan membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik dengan menaik taraf kediaman bagi membolehkan mereka belajar dalam keadaan selesa,” jelasnya pada sidang akhbar program tersebut di Pullman Putrajaya Lakeside, Putrajaya baru-baru ini.
Realiti kehidupan
Kongsi A. Bakar lagi, Langit Terang turut menampilkan kelainan apabila memperkenalkan 26 pengacara jemputan yang akan bersama-sama mendekati kesulitan hidup setiap pelajar yang terlibat.
Antara pengacara jemputan yang terlibat ialah PU Hafiz, Heliza Helmi dan Farah Diana Anuar.
“Kesemua pengacara jemputan itu akan turun padang bagi melihat realiti kehidupan yang dijalani pelajar-pelajar tersebut. Mereka juga berpeluang melakukan aktiviti yang sering dilakukan oleh pelajar terlibat.
“Pengacara jemputan juga akan bertindak sebagai motivator dalam memberi inspirasi dan semangat kepada pelajar-pelajar tersebut,” ujarnya.
Menerusi program Langit Terang juga pelajar yang terpilih berpeluang melakukan transformasi dalam kehidupan selain menjadi inspirasi kepada khalayak.
Sejak diperkenalkan, Langit Terang telah memberi bantuan kepada 52 orang pelajar dan keluarga terpilih serta memberikan sinar baharu buat kehidupan mereka.
sumber: http://www.kosmo.com.my/hiburan/realiti-pelajar-asnaf-dalam-langit-terang-1.720241