KUALA LUMPUR : Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di bawah naungan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan. MIHAS 2018 yang akan diadakan selama lima hari mulai 4 April ini sehingga 7 April, menjadi platform terbaik dan terbesar bagi syarikat peneraju industri halal memperkenalkan dan mempromosikan produk mereka di peringkat antarabangsa. Pameran yang berlangsung di MATRADE Exhibition and Convention Centre ini menampilkan beberapa sektor baharu yang dijangka memberi kepuasan kepada pengunjung untuk mengetahui dengan lebih jelas mengenai sektor produk halal.
Pengarah Bahagian Perkhidmatan Promosi, Makanan, Biotek dan Perdagangan Halal Matrade, Mohd Aminuddin Sham Tajudin berkata, pameran itu bakal disertai oleh pelbagai syarikat antaranya dari negara-negara Asean, Turki, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu, China, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan.
Tidak ketinggalan, TV AlHijrah selaku TV Islam Terbaik Asia juga mengambil peluang ini untuk turut serta dalam menjayakan MIHAS pada tahun ini. TV AlHijrah merupakan penyiar rasmi bagi mempromosikan dan menyediakan platform informasi berkenaan 7 sektor yang terlibat, seperti bahagian makanan dan minuman, perubatan, kosmetik, pelancongan, kewangan, logistik dan juga perdagangan.
MOU Bersama TV ASYL ARNA, KAZAKHTAN
Penglibatan TV AlHijrah di dalam acara terbesar ini bertujuan untuk menyatakan sokongan terhadap acara tahunan Negara sekaligus memperlihatkan komitmen berterusan TV AlHijrah terhadap acara-acara yang memberi manfaat kepada masyarakat. Kesemua warga TV AlHijrah yang bertugas sepanjang berlangsungnya MIHAS telah diberi mandat untuk menjadi duta kecil bagi mempromosikan stesen televisyen yang berkonsepkan Islam ini.
Seterusnya, bersempena MIHAS 2018 ini juga, TV AlHijrah terus mencipta sejarah daalam melebarkan jaringan kerjasama rangkaian antarabangsanya dengan menanda tangani Memorandum Persefahaman bersama TV Asyl Arna sebuah stesen televisyen Islam yang berpusat di Kazakhstan. Memorandum tersebut merupakan permulaan kepada kerjasama strategik di antara dua stesen televisyen berkonsepkan Islam ini.
Kerjasama antara TV AlHijrah dan TV Asyl Arna akan berlangsung bagi memperkukuh kandungan rancangan yang menjadi nadi dalam penyiaran serta berkongsi kepakaran dan kemahiran teknologi penyiaran bagi kedua dua negara tersebut. Melalui platform tersebut juga, kemahiran sumber manusia akan dipertingkatkan melalui perkongsian pengalaman berkhidmat dalam media penyiaran antarabangsa.
TV AlHijrah yakin bahawa pemeteraian Perjanjian Kerjasama bersama TV Asyl Arna ini akan merancakkan lagi dunia penyiaran tempatan dan antarabangsa. Perjanjian Kerjasama ini juga akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak bidang kerjasama di masa hadapan yang akan memberikan impak dan manfaat buat semua.
MOU BERSAMA KOREAN INSTITUTE HALAL INDUSTRY
Disamping itu, TV AlHijrah terus mengorak langkah dan peluang dalam mengembangkan jenama TV AlHijrah ke persada antarabangsa dengan menjalinkan kerjasama bersama Korean Institute Halal Industry (KIHI) pada hari terakhir penganjuran MIHAS 2018.
Kerjasama ini dimeterai melalui perjanjian persefahaman diantara kedua entiti, TV AlHijrah dan KIHI yang diwakili oleh En Mazlan Ahmad Palal dan Dr Noh, James. Sinergi ini dilihat mampu memberi impak kepada produk halal Korea kepada pasaran tempatan di Malaysia. TV AlHijrah juga dapat memperkenalkan produk halal tempatan ke Negara Korea dalam memberi nilai tambah pada produk halal di Malaysia. Disamping itu, kerjasama ini dapat memberi pendedahan baharu kepada warga TV AlHijrah dalam mempelajari Industri Halal di Korea.
Semoga dengan kerjasama ini akan memberi kebaikan yang berteruskan kepada kejayaan TV AlHijrah dalam mencipta nama ke peringkat global.
Teks : Unit Komunikasi Korporat
Gambar : Izzat Syamir Ismail