BERTEMAKAN “Kilauan Hijrah” dan menggunakan khat jenis Diwani, logo yang berlatar belakang hitam dan tulisan berwarna keemasan berkilauan merujuk kepada Kiswah Kaabah sebagai simbol perpaduan umat Islam jelas menggambarkan visi dan misi TV AlHijrah.
Untuk menyatupadukan masyarakat, segalanya perlu bermula dari diri sendiri. Dengan slogan pertama “Segalanya Bermula Di Sini”, satu saf pertama diterajui Almarhum Datuk Bukhari Che Muda memulakan gerak langkah di bangunan bekas perpustakaan Kompleks Pusat Islam yang masih lagi belum sempurna sepenuhnya kerja pengubahsuaiannya.
Itu tidak menghalang para petugas pada masa itu untuk tekun bekerja, mereka bergerak seperti susunan batu-bata yang melengkapkan antara satu sama lain; di mana kebanyakan daripada mereka berhijrah ke stesen ini dengan niat menyumbang kepada kerja-kerja agama.
Sebaik sahaja busur dalam genggaman Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak melepaskan anak panahnya ke arah puncak bangunan Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah pada malam 1 Muharam 1432H yang hening (bersamaan 7 Disember 2010), pelbagai rasa menerpa jiwa para petugas yang menjadi saksi acara bersejarah itu.

TV AlHijrah terus mengatur langkah demi langkah sehingga mampu berlari sebagai seorang kanak-kanak seusia sepuluh tahun, menyelongkar setiap ceruk padang permainan dunia penyiaran untuk menyentuh jiwa segenap agama dan bangsa; semua lapisan masyarakat.
Tugas TV AlHijrah sebagai medium penyampaian dan penyambung legasi Baginda amatlah besar dan memerlukan penjaga kompas yang sedar akan arah dan hala tuju para penonton akan dibawa.
Menyampaikan keindahan dan kesempurnaan Islam sebagai rujukan dan ikutan cara hidup Islam, genap sepuluh tahun TV AlHijrah menyiarkan rancangan-rancangan yang mampu menarik umat Islam untuk terus melakukan hijrah ke arah hidup yang diredhai Allah.
Semua program terbitan dirangka dan diatur secara kreatif selari kehendak zaman tanpa mencacat-cela prinsip penubuhan; menghibur, mendidik dan membimbing masyarakat sehingga terhasilnya sebuah umat yang celik agama dan perkembangan zaman.
Bermula dengan rancangan seperti Berita AlHijrah, Majalah Islam, Assalamualaikum, Menu Alam dan Bicara serta beberapa lagi sewaktu mula bertatih ke dunia penyiaran tanah air, TV AlHijrah dengan imejnya tersendiri mampu melencongkan aliran penonton sedia ada ke muara penyiaran yang bercorak lebih Islamik dengan konsep patuh syariahnya.
Niatnya supaya masyarakat tidak kira latar agama dan bangsa mengambil nilai murni cara dan gaya hidup Islam yang sememangnya menjamin kesejahteraan. Pelbagai anugerah dirangkul tanda pengiktirafan keberadaan dan kejayaan stesen ini dalam sumbangannya terhadap mempromosikan Islam.

Usaha menyebar luas syiar dan dakwah Islam yang diajar Rasulullah s.a.w. sehingga berjaya membentuk umat yang tinggi tamadun dan peradabannya serta teguh dan tinggi keimanannya tidak mudah jalannya, namun ia berjaya dihadapi dengan semangat kerja sebagai ibadah yang diterapkan ke dalam jiwa petugas.
Hubungan ukhuwwah fillah (persaudaraan kerana Allah) sesama petugas berjaya membentuk satu kerja berpasukan yang saling bantu-membantu melakukan kerja kebaikan menjadi kunci utama kejayaan stesen yang hanya mempunyai lebih kurang 200 orang petugas ini.
Selepas sepuluh tahun berlari, ternyata TV AlHijrah mempunyai sokongan penonton setia tersendiri yang memilih program bersumberkan al-Quran sebagai teras kekuatan stesen ini. Inilah keunikan stesen ini yang membolehkan ia berdaya saing dan terus maju dalam keadaan suka dan duka dunia penyiaran negara.
Dunia digital yang kian rancak berkembang memerlukan kepakaran stesen ini ‘menari’ dalam lenggok zaman supaya tidak ketinggalan dalam lambakan karya digital yang dikuasai generasi baharu yang giat bersaing di pelbagai platform laman sosial.

Rancangan Malaysia #QuranTime dan Maidatul Quran yang meraih jumlah tontonan di platform konvensional dan digital membuktikan penonton setia mahu stesen ini kekal dengan prinsip asal – menjuarai rancangan keagamaan.
Tidak hanyut dalam keterujaan mengaut jumlah tanda suka dan seumpamanya, TV AlHijrah memilih memanfaatkan dunia digital dengan jalinan kerjasama antara kedua-dua platform, konvensional dan digital bagi memenuhi kehendak pelbagai lapisan generasi penonton.
TV AlHijrah tidak perlu mengikut rentak irama stesen lain untuk terus unggul, sebaliknya meneruskan identiti yang telah sebati dengan penubuhannya sebagai oasis yang menyediakan minuman yang menyegarkan iman bagi mereka yang berkelana di tengah tandusnya gurun ketakwaan.
Kebijaksanaan memandu arah stesen ini dalam alunan ombak dengan mempraktikkan strategi lautan biru iaitu keunikan patuh syariahnya akan melonjakkan TV AlHijrah kepada kejayaan menjadi stesen penyiaran Islam terulung di rantau ini.
Sumber: www.hbit.my