Alhijrah Media Corporation

info@tvalhijrah.com

TV ALHIJRAH TERIMA ANUGERAH ‘NO.1 ASEAN MOST PROMISING ISLAMIC TV STATION 2022’

Wakil TV AlHijrah, Saifulizan Sidek (tengah) bersama Ardi Herman Mohd Mardzi dan Norhaniza Mat Husain ketika menghadiri Indonesia Award Magazine 2022 di Jakarta, hari ini.

JAKARTA: Selepas siri pengiktirafan dan kejayaan yang ditempa di peringkat nasional, TV AlHijrah terus yakin dalam misinya sebagai platform dakwah untuk ke peringkat antarabangsa.

Terbaharu, saluran TV patuh syariah pertama negara itu diberi penghormatan menerima anugerah pada penganjuran Indonesia Award Magazine 2022 ketika majlis gilang gemilang yang diadakan di Jakarta, hari ini.

TV AlHijrah menerima pengiktirafan sebagai ‘No. 1 ASEAN Most Promising Islamic TV Station 2022’ selepas panel juri sebulat suara memilih saluran TV dari Malaysia itu sebagai agensi media yang menepati kriteria penilaian yang ditetapkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, beliau percaya TV AlHijrah kini mula ‘diintai’ oleh negara-negara jiran berikutan produktiviti dan kualiti penerbitan programnya yang mendapat tempat, selain keunikannya sebagai platform dakwah Islam yang memanfaatkan teknologi canggih, media baharu dan kreativiti pada persembahannya.

“Satu lagi anugerah yang menterjemah keyakinan pelbagai pihak kepada TV AlHijrah. Bukan sahaja diterima di Malaysia, namun kali ini lebih manis apabila ia diterima dari negara jiran, Indonesia. Kita yakin ini satu pembakar semangat untuk meneruskan usaha dakwah kita malah pembuka jalan untuk kita menembusi industri penyiaran di negara jiran dalam pelbagai bentuk kerjasama,” katanya.

Hadir mewakili Namanzee pada acara penganugerahan ini, Ketua Kumpulan Media Integrasi dan Hal Ehwal Korporatnya, Saifulizan Sidek.

Sementara itu menurut Naib Pengerusi Indonesia Award Magazine, Rafanara Paramudya, panel juri sepakat mengurniakan anugerah itu kepada TV AlHijrah berdasarkan kriteria-kriteria, antaranya, tata kelola dan pengurusan yang baik, hubungan dengan pelabur dan pengiklan, tanggungjawab sosial, kredibiliti, dedikasi dan kesetiaan serta mempunyai misi strategik.

“Selepas membuat penilaian berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan, panel juri yang terdiri daripada pihak Indonesia Award Magazine, Success Research dan Indonesiaawardcentre.com sepakat memilih TV AlHijrah sebagai penerima anugerah bagi kategori ‘No. 1 ASEAN Most Promising Islamic TV Station 2022’.”

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Berita dan Ehwal Semasa TV AlHijrah, Ardi Herman Mohd Mardzi. Hadir sama meraikan kejayaan TV AlHijrah, wakil agensi BERNAMA di Jakarta, Muhamad Iswandi.–AlHijrah Online